Wednesday, March 30, 2011

Mesyuarat PIBG

Mesyuarat PIBG telah diadakan pada 30 Mac 2011 bertempat di Dwan Jauhari pada jam 2.30 ptg. Slot Motivasi juga diadakan dan dikendalikan oleh En. Ismail bin Hashim merupakan kaunselor SMKA Slim River.
Mesyuarat berjalan dengan lancar .

Wednesday, March 9, 2011

Jangan putus ASA

Ah!! Tensionnya!"

"Banyaknya masalah"

"Ada tak orang yang hidup tiada masalah?"

Satu demi satu persoalan mengetuk gegendang telinga saya, jika persoalan-persoalan itu mampu memberi kesan kepada gegendang telinga, pastinya gegendang telinga saya sudah berlubang sekarang! :)

Adakah manusia yang tidak punya masalah?

Bertanya persoalan yang seperti itu, seolah-olah kita bertanya: Adakah manusia hidup yang tidak bernafas?

Benar. Masalah sudah amat sinonim dengan diri seorang insan kerdil lagi hina bergelar manusia. Sedangkan Nabi dan para sahabat juga dicubit sayang oleh Allah, inikan pula kita manusia biasa...

Persoalannya bukan adakah manusia yang tidak ada masalah tapi lebih kepada bagaimana kita menghadapi permasalahan yang ada.

Jika kita cuba lari dari masalah percayalah masalah itu tidak akan pergi.

Berhadapanlah dengannya.

"Sebenarnya... Hidup bila tidak ada masalah jadi mendatar, jadi tidak ada kenangan yang hendak dikenang.. Jadi hambar." Sahabat yang saya kasihi melontarkan nasihat.

"Tapi kan bila ada masalah jadi susah hati, jadi sedih..." Saya menyambung.

"Memanglah, mana ada orang ada masalah suka hati je..."

Saya ketawa. Benar, masalah itu menjadikan hati menjadi murung tapi di sebalik kemurungan itu akan terselit pula kebahagiaan.

Apabila masalah itu telah selesai, percayalah kita pasti mampu tersenyum malah tertawa sewaktu mengenangkannya.

Maka,jangan sesekati berkata: "Oh Allah! Aku ada masalah yang besar!" Tapi berkatalah:

"Oh Masalah, Aku ada Allah yang Maha Besar!"

Allah Pasti Akan Membantu

"Macam mana ni..." Matanya berair, berserta esakan yang perlahan. Hujung tudungnya diambil sedikit buat mengesat air mata yang kian mengalir. Saya gusar. Melihatnya mengalirkan air mata membuat saya tidak keruan.

"Sabar..Sabar.."

Sergahan ustaz tentang hafazan kami membuatkan hati sahabat-sahabat sekelas menjadi kecut. Ah, takut ujian yang diberi tak dapat dijawab dengan baik, takut hafazan tersekat di tengah-tengah.

Memandang sahabat yang sedang menangis itu, entah kenapa secara tiba-tiba saya berasa sedikit tenang, seolah-olah terdengar-dengar janji Allah ;

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa," (Al-Hajj :22)

"Ok, cepat cepat!" Ustaz memanggil.

Sahabat saya nan satu itu ke hadapan, bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Beberapa minit berlalu....

Surah An-Naba' dan An-Naziat berjaya dilepasi.

Berjaya pula dia mendapat 10/10.

Oh Allah, betapa Engkau tidak pernah mengecewakan hambaMu yang berusaha!

Jangan berputus asa

"Saya rasa masalah saya ni dah tak ada jalan penyelesaian dah. Buntu."

Ingatkah kita pada firmanNya ;

"jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)

Jangan sesekali berputus asa. Masakan Allah menimpakan ujian dengan sia-sia, masakan Allah sengaja membuat kita sakit dan bersedih.

Sedangkan setiap penyakit itu ada ubatnya melainkan mati, masakan masalah yang kita hadapi langsung tidak punya jalan penyelesaian.

"Saya dah puas cuba macam-macam, tapi...tapi..begini juga."

Nah, lihat kembali dalam diri.. Segala keputusan yang diambil, adakah dikembalikan kepada Allah. Maksud saya, adakah kita redha, adakah segala keputusan dan tindakan yang kita ambil kita bertawakal kepada Allah atau kita merasa yakin dengan diri kita sendiri?

Hakikatnya...Allah timpakan ujian agar kita memuhasabah diri. Allah beri sakit untuk kita menghapus dosa, Allah beri kesusahan agar kita kembali padaNya.

Jika kita menyombong diri...termasuklah kita dalam kalangan orang yang rugi.

Jika kita tidak kembali pada Allah... Terbengkalailah masalah kita dengan seribu persoalan.

Kembalilah... Allah menantimu.

Berusaha dan kemudian serahkan urusanmu pada Allah.

Sungguh, Dia lebih Mengetahui!

Bangunlah, Bangkitlah, Berdirilah..Walau kamu terasa payah, walau kamu terasa seksa.. Kerana hakikatnya Allah akan membantumu. Pasti! Jangan diragui.

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Al-Imran : 159)

Kisah sebakul air

Selalu terjadi, kita merasakan usaha kita sia-sia. Penat kita berusaha tetapi langsung tiada hasil. Malas hendak buat perkara yang sama lagi kerana seakan tidak berbaloi. Begitu juga halnya dengan rutin membaca kita, iaitu membaca al-Quran.

Apa yang lebih mahal, usaha (effort) atau hasil (result)?

Amad dan Atuk

Seorang petani tua tinggal bersama cucunya di sebuah kawasan pedalaman. Rutin sesudah subuh sebelum bertani, Si Atuk akan membaca al-Quran di pangkin. Amad, cucu Si Atuk sentiasa memerhatikan gelagat atuknya, dan berusaha untuk merutinkan bacaannya seperti atuk.

Suatu hari Amad bertanya, "Atuk, Amad cuba untuk baca al-Quran setiap hari macam Atuk, tapi Amad selalu tidak faham. Bila faham sekali pun, Amad tetap akan lupa bila Amad tutup al-Quran. Apa ya kebaikan baca al-Quran, Atuk?"

Si Atuk menutup al-Quran dan tersenyum, faham benar dengan pertanyaan cucu tunggalnya itu. Tidak menjawab soalan Amad, sebaliknya Atuk menyuruh Amad berbuat sesuatu, "Amad ambil bakul arang di dapur. Pergi ke sungai dan bawa balik sebakul air untuk Atuk."

Amad hanya menurut, pergi ke sungai, mengisi air ke dalam bakul, dan berjalan balik ke rumah. Sebelum sampai ke rumah, air terkeluar melalui lubang-lubang bakul yang dibuat daripada rotan. Amad berpatah balik ke sungai sekali lagi.

Dari jauh Si Atuk memerhatikan gelagat Amad sambil tertawa, lalu berteriak, "Amad perlu bergerak lebih laju, supaya sempat sampai di rumah!"

Kali ini Amad berlari lebih laju, tetapi hasilnya tetap sama, bakul tetap kosong sebelum sampai ke rumah. Tercungap-cungap keletihan, Amad fikir terlalu mustahil untuk membawa air menggunakan bakul, lalu dia mencapai baldi.

"Atuk tidak mahu air dari baldi, Atuk hanya mahu air dari bakul. Amad belum berusaha dengan bersungguh, Atuk tahu."

Lalu Amad mencapai bakul tadi dan segera ke sungai, dia ingin membuktikan kepada Atuknya yang dia telah berusaha bersungguh-sungguh. Malah semakin cepat Amad berlari, semakin cepat air keluar daripada bakul tersebut.

"Tengok Atuk, tidak berguna bukan? Bakul ini tetap kosong," kata Amad kepada Atuknya, menelan rasa kecewa.

Betulkah tidak berguna?

"Tidak berguna kata Amad? Cuba Amad lihat bakul itu."

Amad melihat bakul di tangannya, dan Amad baru perasan satu perkara, iaitu bakul itu tidak lagi comot dengan kesan arang dan tanah, malah jauh lebih bersih, luar dan dalam.

"Amad, itulah yang berlaku bila kita selalu membaca al-Quran. Kita mungkin tidak faham, atau tidak ingat apa-apa, tetapi yakinlah bila kita membacanya, kita akan berubah, luar dan dalam".

Amad tersenyum lebar dan penuh bahagia, persoalannya kini terjawab.

Usaha atau Hasil?

Seringkali kita terfokus pada hasil, sehingga kita terlupa usaha itu yang lebih utama. Tanpa usaha tiada hasil. Mulai sekarang ubahlah apa yang kita lihat. Lihat dan hargailah usaha, walau hasilnya tidak seberapa.

Jika kita berupaya sekuat tenaga menemukan sesuatu, dan pada titik akhir upaya itu hasilnya masih kosong, maka sebenarnya kita telah menemukan apa yang kita cari dalam diri kita sendiri, yakni kenyataan, kenyataan yang harus dihadapi, sepahit apa pun keadaannya.

- Artikel iluvislam.com

WANITA VS RAMA RAMA

Melihat gelagat rama-rama membuatkan ramai orang menjadi suka, ceria dan terpesona. Ramai yang akan tersenyum melihat kecantikan rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Pasti ada yang tidak kena jika ada bunga yang tidak dihinggapi rama-rama.

Ramai yang akan tertarik untuk menangkap rama-rama apabila melihat ia terbang berkeliaran di udara. Kecantikan rama-rama terletak pada warna dan corak sayapnya. Akan tetapi kecantikannya tidak akan kekal jika banyak tangan yang menyentuhnya.

Warna dan corak rama-rama pasti akan melekat pada jari jemari apabila kita menangkapnya. Selepas itu tiada sesiapa yang akan tertarik padanya lagi. Keindahan rama-rama telah hilang untuk dikagumi.

Rama-rama ibarat wanita. Wanita indah untuk disentuh, tetapi nilai dirinya akan merosot setiap kali ada tangan-tangan kotor mencemari tubuhnya. Harga diri dan maruah mudah tercemar jika tidak dijaga dengan sempurna.

Begitulah wanita. Kecantikan wanita bagaikan rama-rama yang terbang membawa keindahan corak pada dirinya. Ia akan membuatkan lelaki mudah tertarik pada wanita. Tetapi untuk menjaga harga diri seorang wanita, bukanlah dengan membiarkan kecantikannya disentuh, dipegang oleh semua yang tertarik padanya. Biarlah kecantikan pada wanita itu diperolehi melalui jalan yang diredhai Allah.

Wanita harus menjaga harga kecantikan dan keindahan seorang wanita menurut ketentuan dan panduan yang Allah ajarkan di dalam al-Quran yang telah di sampaikan oleh RasulNya. Hanya dengan menuruti perintah Allah, kemuliaan, harga diri, kecantikan, dan keindahan seorang wanita akan terjaga dan terpelihara.

Daripada Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." [Hadis Riwayat Ahmad]

Alangkah mudahnya jalan yang Allah hamparkan kepada seorang wanita untuk masuk Syurga Allah. Antaranya menjaga kehormatan diri setelah mendirikan solat dan berpuasa. Apabila telah tiba jodoh pertemuannya, maka taatilah suami dan mereka dimuliakan Allah dengan memberi keistimewaan untuk masuk Syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya.

SELAMAT BERCUTI KEPADA SEMUA WARGA SMK SG. KRUIT

BISMILLAHIRAHMAN NIRAHIM....

Alhamdulilah dengan izin Allah saya mengharapkan semua dalam keberkatan Allah SWT.

Bermula 12 Mac 2011 bersamaan hari sabtu, sekolah sekali lagi melabuhkan tirai untuk memberi ruang kepada murid untuk bercuti. harapannya cuti ini dapat memberi sesuatu yang bernialai kepada kita. contohnya pelajar peperiksaan PMR dan SPM dapat menghadiri kelas2 tambahan. Selain itu, kita dapat bersama mak ayah tercinta.... bermesra bersama adik kakak abang...sungguh indah sekali.
Diharapkan semua anak-anak murid kesayangan saya menjaga diri dan sentiasa bersikap baik dengan ibu bapa....
Jangan tinggal solat, InsyaAllah kita didalam keberkatannya.

mama su

Tolonglah.. Janganlah Bersedih =D Mari Senyum

Jangan bersedih, Allah Maha pengampun dan Maha penerima taubat
Jangan bersedih, setipa sesuatu telaha da qada dan qadar
Janagn bersedih, kerana kelapangan pasti datang
Jangan bersedih, kerana rahmat Allah melimpah ruah
Jangan bersedih, memaafkan org yg menyakiti itu lebih baik
Jangan bersedih, masih banyak lagi nikmat yg ada pada diri kita
Jangan bersedih, dunia ini tidak layak ditangisi
Jangan bersedih, banyak cara untuk mengusir kesedihan
Jangan bersedih, anggaplah celaan org itu sebagai angin yang lalu
Jangan bersedih , hinaan tidak selamanya buruk
Jangan bersedih, pilihan Allah adalah yang terbaik
Jangan bersedih, selagi anda masih boleh berbuat baik kepada org lain
Jangan bersedih, keranan banyak lagi jalan untuk meringankan musibah
Jangan bersedih, masih ramai org yang menyayangi anda
Jangan bersedih, kerana masih ada kehidupan lain
Jangan bersedih, tanyalah dirimu tentang hari ini, kemarin dah esok
Jangan bersedih, kesedihan boleh merosakkan badan dan akal fikiran
Jangan bersedih, kerana hidup ini bukanuntuk bersedih
Jangan bersedih, selagi anda beriman kepada Allah
Jangan bersedih, segala yg ada didunia ini tidaklah berharga
Jangan bersedih, nikmati lah apa yang anda miliki sekarang
Jangan bersedih, bolehjadi cubaan ini adalah anugerah
Jangan bersedih, kerana anda berbeza dengan orang lain
Jangan bersedih, terkadang kesulitan mengandungi manfaat
Jangan bersedih, kehidupan ini lebih singkat dari yg kita jangkakan
Jangan bersedih, kesedihan akan membuatkan musuh anda gembira
Jangan bersedih, hadapilah kenyataan walaupun pedih
Jangan bersedih, kerana...segalanya akan berakhir..insya-Allah