Tuesday, February 22, 2011

PerBezaan antara Kita

Pagi tadi, saya nyaris merempuh sebuah kereta ketika hendak memasuki jalan utama. Pemandunya membunyikan hon marah. Saya pun membalas suara hon kenderaannya dengan mengajuk bunyinya. Kami saling bertukar-tukar cebikan. Saya mengagak, dia memarahi saya kerana hendak memotong laluannya. Saya pula memarahinya kerana terkejut.

Kemalangan itu hampir terjadi kerana dia tidak memasang lampu keretanya. Waktu itu sudah 7.00 pagi, tetapi keadaan masih gelap. Walaupun saya boleh nampak jalan raya tanpa memasang lampu, saya masih menyalakannya kerana mahu pemandu lain nampak akan kehadiran kereta saya. Orang lain kesemuanya memasang lampu kecuali kereta itu.
Pemandunya berfikiran, lampu kenderaan hanyalah untuk menyuluh jalannya. Oleh kerana dia sudah nampak jalan, maka dia mula memadam lampu. Dia tidak sedar kalau dia masih memasang lampu, dia membantu orang lain melihat akan kehadiran kenderaannya. Justeru, kemalangan boleh dielakkan.

Bagaimana pun, itu hanyalah pendapat saya. Mungkin dia memadam lampu kerana sudah tidak memerlukannya. Saya pula masih memasang lampu kerana mahu orang lain nampak dan mengelak dari melanggar kereta saya. Masing-masing ada rasional yang tersendiri.

Namun, oleh kerana mahu orang lain berfikiran seperti kita, maka kita marah bila ia tidak berlaku. Padahal, kita tidak boleh marah jika orang lain tidak ikut apa yang kita inginkan kerana mereka tidak boleh menjadi kita. Biasanya, perselisihan faham beginilah yang seringkali terjadi di antara suami-isteri, ibu-bapa, atau di kalangan mereka yang sama setempat kerja.

Si isteri minta suami bangun pagi untuk menemankannya ke pasar. Baginya, barang basah lebih segar dan pilihan lebih banyak bila pergi awal. Si suami pula tidak mahu bangun cepat kerana pada pendapatnya, lagi sedikit pilihan, lagi cepat isterinya selesai membeli belah. Ia menjimatkan masa. Oleh kerana kedua-duanya mempunyai pandangan masing-masing dan mahukan yang seorang lagi akur dengan caranya, maka akhirnya mereka bermasam muka.

Si ayah yang dahulunya mengambil peperiksaan STPM hingga 5 kali untuk memasuki universiti akan berasakan ketekunannya belajar siang dan malam selama bertahun-tahun adalah cara terbaik untuk layak masuk ke universiti. Kerana itu, si anak juga dipaksa belajar mengikut cara lamanya; siang dan malam, tanpa TV, muzik dan tanpa internet. Sedangkan bagi si anak, TV, muzik dan internet adalah santapan minda ketika belajar. Mana mungkin si anak mendengar nasihat si ayah kerana dia sudah terdedah dengan pelbagai bentuk kerehatan sejak kecil lagi?

Di tempat kerja, cara seseorang itu beribadah juga boleh menimbulkan tanggapan yang negatif bagi orang lain. Jika si A yang dapat melakukan banyak solat sunat, dia tidak boleh berasakan yang rakannya si B yang tidak langsung melakukan solat sunat sebagai orang yang kurang beribadah daripadanya. Mungkin bagi B, dia memilih untuk banyak bersedekah tanpa pengetahuan si A. Sudah tentu si B buat-buat tak dengar bila si A menyarankan agar dia memperbanyakkan solat sunat.

Soalnya, mengapakah kita mahu orang lain jadi seperti kita? Mungkin sekali kerana cara yang kita temui itu telah menghasilkan yang terbaik dan paling berjaya, kita beranggapan bahawa cara itu juga paling bagus untuk semua orang. Dalam keghairahan agar orang lain menuruti formula kejayaan diri, kita memaksa orang lain turut mengikutinya. Akhirnya, apabila orang lain tidak mahu peduli, kita pula yang marah. Sedangkan marah kita itu tidak berasas kerana dia bukan kita.

Ada juga di antara kita yang menggunakan kedudukan sebagai ketua atau yang lebih berkelayakan untuk memaksa orang lain mengikuti cara kita. Tidak dinafikan, cara paksaan boleh menghasilkan kejayaan. Tetapi, mereka yang mematuhinya mungkin hanya akur kerana minda dan hati mereka terpasung. Apabila kita tiada, maka masing-masing akan ikut cara sendiri-sendiri. Ini terjadi tidak kira di dalam negara, organisasi mahupun institusi keluarga.

Justeru itu, untuk apakah kita mahu orang lain menjadi seperti kita? Bukankah manusia itu diwujudkan dengan pelbagai perbezaannya? Alangkah bosannya kita jika kita semua berfikiran dan bertindak serupa. Kita bukannya robot. Sebaliknya kita adalah manusia yang punyai hati dan perasaan. Raikanlah perbezaan meskipun dalam pergeseran.

Aduhai manusia

Kesilapan kita.

Ada masa kita silap.

Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.

Terkadang, kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.

Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.

Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?

"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - [Surah An-Nisa', 4: 32]

Hikmah...(jika manusia ketahuinya)

Terleka dirinya sebentar apabila menatap gambarnya ketika masih berada di bangku sekolah. Dilihatnya tulisan di belakang gambar kelasnya tersebut.

Kadang kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan petir dan kilat,
Kita menangis dan tertanya-tanya,
Ke mana hilangnya sinar,
Rupa-rupanya,
Allah nak hadiahkan kita pelangi.

* * * * *

"Zinnirah, cepat! Kelas dah nak mula ni," teriak sahabatnya, Sofea, sambil berlari- lari anak untuk mendapatkan Iman yang masih sibuk menyiapkan kerja sekolah di kantin tanpa menyedari waktu rehat sudah pun tamat.

"Hish, macam mana boleh lupa pula kerja sekolah matematik ni! Matilah aku kena leter dengan Cikgu Iman," getus hatinya. Setelah mengemas barang-barangnya, Zinnirah berlari-lari anak mendapatkan sahabatnya, Sofea dan terus menuju ke kelas.

"Bangun semua. Assalamualaikum Cikgu Iman," laung ketua kelas diikuti rakan-rakan seperjuangan.

"Waalaikumussalam. Jangan duduk lagi," permintaan Cikgu Iman membuatkan hati Zinnirah seakan-akan mahu gugur.

"Baiklah, cikgu nak kamu semua keluarkan homework yang cikgu bagi semalam. Cikgu akan round," kali ini Iman merasakan jantungnya sememangnya sudah jatuh dari tempat asalnya. Cikgu Iman sudah sampai ke tempat duduk Zinnirah, dikerlingnya buku Zinnirah yang berada di hujung meja. Tiba- tiba sahaja Cikgu Iman berhenti betul- betul di sisinya.

"Zinnirah!" Cikgu Iman menyebut namanya.

"Ya cikgu," jawab Zinnirah. Kelihatan kawan- kawanya yang berada di dalam kelas mengambil kesempatan untuk melihat drama pendek yang bakal dia tempuhi.

"Sampah dekat kaki tu kutip," terus Cikgu Iman berlalu kemeja yang lain. Seakan tidak percaya kerana dirinya tidak menjadi sasaran. Dilihat buku matematik yang berada di hujung mejanya.

"Patutlah, cikgu tak tengok bahagian belakang, Alhamdulillah," hatinya mengucap kesyukuran yang teramat sangat.

* * * * *

Waktu pembelajaran pada hari itu berjalan seperti biasa. Akhirnya waktu yang ditunggu-tunggu telah tiba oleh para pelajar. Sesi pembelajaran tamat.

"Tak lama lagi percubaan. Kau dah sedia ke Zinnirah?" soal Sofea kepada Zinnirah.

"Haa? Kau janganlah nak tanya aku pasal benda ni. Aku belajar macam mana pun kau tetap atas aku," jelas Zinnirah.

Ada betulnya apa yang dikatakan oleh Zinnirah. Sofea boleh dikatakan seorang yang suka tidur di dalam kelas. Kadang kala kerja sekolahnya disiapkan lambat-lambat tetapi Sofea lebih cemerlang darinya. Selalu juga difikirkan apa silapnya, mungkin banyak, namun dia tidak boleh kalah.

Mungkin Allah mahu menjadikan dirinya seorang yang lebih berusaha, hanya Allah yang tahu. Sebagai seorang hamba, dia hanya mampu meminta yang terbaik.

Perbualan terhenti di situ, Sofea tidak mahu berkata apa-apa kerana takut menyinggung perasaan sahabatnya itu.

* * * * *

Peperiksaan percubaan SPM telah pun berlalu, kini keputusannya sudah diedarkan kepada murid-murid. Kelas 5 Kejuruteraan Awam juga merasa bahangnya.

Kelihatan Zinnirah sedang termenung sambil memikirkan keputusannya yang tidak seberapa. Dikerlingnya kertas peperiksaan percubaan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris sahabatnya, Sofea telah cukup membuatkan hatinya menangis hiba. Dilihatnya pula kertas peperiksaan dirinya sendiri memang jauh beza markahnya

"Kenapalah aku tak boleh jadi macam Sofea? Nak kata aku tak belajar aku belajar. Tapi kenapa susah nak dapat macam dia?" getus hati Zinnirah.

Tiba-tiba dia terfikir untuk melihat semua kertas yang telah diedarkan semua guru mata pelajaran. Zinnirah melihat semua kertas-kertas peperiksaan yang telah diberikan oleh semua guru, dan dia tersenyum kerana buat pertama kalinya subjek Matematik telah lulus walaupun markahnya hanya di atas pagar. Kini Zinnirah telah nekad dalam dirinya, walau apa pun yang bakal terjadi dia akan berusaha dan tidak akan putus untuk berdoa kepada yang Maha Mengetahui.

Kini SPM sedang berjalan seperti biasa. Debarannya tidak begitu kuat, tetapi apabila mahu menyerahkan kertas jawapan pada pengawas yang bertugas barulah dirinya seperti mahu mengambil balik kertas tersebut dan memeriksanya semula. Hanya tawakal dan doa sahaja yang mampu dilakukan selepas menyerahkan kertas jawapan. Terdapat juga rakan seperjuangan yang dulu tidak pernah mahu belajar dan datang ke sekolah hanya untuk melengkapkan rutin harian tetapi mula berubah menjadi ulat buku, ada juga yang seperti tidak mahu berenggang dengan buku tersebut apabila menghampiri ke hari peperiksaan.

* * * * *

"Abah, along takutlah," pendek kenyataan yang diberi Zinnirah kepada bapanya tetapi cukup mengambarkan perasaan berdebarnya untuk mengambil keputusan SPM pada hari itu.

"Apa nak ditakutkan sekarang. Patutnya takut sewaktu nak ambil SPM dulu," kata bapa Zinnirah membuatkan dirinya lebih seperti cacing kepanasan.

Sampai di sekolah, keputusan peperiksaan telah pun diumumkan. Lantas Zinnirah mendapatkan sahabatnya, Sofea. Mereka telah berjanji untuk berjumpa di sekolah kerana Sofea baru sahaja balik dari Program Latihan Khidmat Negara.

"Assalamualaikum, Sofea macam mana keputusan engkau?" terus Zinnirah menyoal keputusan yang sedang dipegang oleh Sofea kerana debarannyasemakin dirasa.

"Waalakumussalam, Alhamdulillah. Aku berjaya dapat 4A. Kau pergilah cepat ambil keputusan boleh kita lepak lama-lama lepas ni," terang Sofea dalam keadaan gembira.

Zinnirah bergerak untuk mengambil keputusan. Setelah keputusan berada di tangannya, dia merasa amat terkilan atas usaha dirinya selama ini. Kenapa dirinya masih tidak boleh menandingi Sofea.

"Macam mana Zinnirah?" tanya Sofea.

"Bolehla, dapat 1A je," perlahan nada percakapan Zinnirah.

"Tak apalah. Zinnirah, matematik kau B lah!" suara Sofea memecah kesedihan Zinnirah.

"Yalah, Alhamdulillah!" pendek ulasan Zinnirah.

Pulang ke rumah, Zinnirah duduk termenung di beranda sambil memikirkan nasibnya selepas ini. Walaupun dirinya layak untuk menyambung pelajaran tetapi bukan dalam bidang kejuruteraan awam. Kemungkinan besar dia akan menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan. Memang jauh dari cita-cita asalnya tetapi apa yang boleh dibuatnya. Hanya itu yang layak bagi dirinya.

* * * * *

Selepas bertahun-tahun berlalu, akhirnya Zinnirah berjaya dalam bidang perakaunan. Kini dirinya telah bergelar pendidik. Dulu dia sering jatuh kini gilirannya pula untuk membantu sesiapa yang rasa kehilangan walhal mereka masih belum temui sinar hikmah yang sebenar. Terlalu besar hikmahnya sehingga kita akan bersyukur dengan apa yang berlaku dahulu. Tiba-tiba lamunan Zinnirah terhenti apabila salah seorang muridnya datang untuk berjumpa denganya.

"Cikgu Zinnirah, ada apa nak jumpa saya?" tanya pelajar tersebut.

Lantas zinnirah menyimpan gambar tersebut dan memandang tepat ke wajah pelajarnya.

"Cikgu nak ucapkan tahniah kepada kamu," terang Zinnirah .

"Tapi saya punya matematik tak berapa ok?" soal pelajar itu kembali.

"Tapi kamu dah berjaya untuk meluluskan diri kamu. Percayalah kata cikgu, teruskan usaha dan jangan sesekali mengeluh. Allah Maha Mengetahui segalanya," tersenyum pelajar tersebut antara faham dan tidak faham.

Setelah selesai pelajar tersebut meninggalkan meja guru yang bernama Nur Zinnirah dengan ucapan terima kasih kerana menyokong dirinya dan keluar dari bilik guru dengan impian untuk berjaya. Dari jauh Zinnirah tersenyum dan berharap anak didiknya akan faham suatu hari nanti.

"Suatu hari kamu akan faham wahai anak didik ku."

Monday, February 21, 2011

PERLANTIKAN PRS

MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PRS TAHUN 2011






TARIKH : 9 FEBRUARI 2011
HARI : RABU
WAKTU : 12.15 TENGAHARI - 2 PETANG

JUMLAH :46 ORANG PRS