“ Bersabarlah, ini ujian daripada Allah, ada hikmah di sebaliknya... "
Bagaimanakah biasanya penerimaan kita tatkala mendengar ungkapan ini?
Apakah reaksi kita sendiri apabila kita ditimpa musibah dan ujian?
Rata-rata masyarakat sekarang, samada yang memberikan nasihat atau yang menerima nasihat, tidak memahami konsep ungkapan tersebut daripada perspektif yang positif. Malah ada yang memandang negatif atau pun meluat apabila dinasihati supaya bersabar dengan musibah yang melanda. Secara tak langsung, kita sebenarnya menyalahkan takdir ataupun lebih tepat lagi telah bersangka buruk dengan Allah.
Hikmah apa?
Apa hikmahnya?
Nak bersabar macamana lagi?
Disini, amat penting untuk kita memahami dari persepsi positif tentang sesuatu musibah yang melanda. Kita ambil contoh :
Senario pertama
Seorang lelaki yang mengalami sakit pada dadanya. Dia kemudiannya datang berjumpa doktor untuk meminta rawatan dan pertolongan. Setelah diperiksa, maka dia disahkan mengalami kerosakan pada jantung dan perlu dibedah. Ketika dibedah, doktor akan melakukan perkara-perkara yang kita nampak seperti kejam contohnya, membelah dada pesakit, darah yang memercik keluar, dan segalanya yang amat mengerikan.
Tetapi mengapa kita membenarkan perkara ini berlaku tanpa ada rasa marah pada doktor itu? Mengapa kita boleh bersabar menunggu hingga pembedahan selesai, sehingga luka-luka tersebut sembuh, dan akhirnya jantung pesakit itu berjaya diubati, malah pesakit itu berterima kasih pada doktor tersebut?
Ini adalah kerana kita faham, bahawa doktor tersebut bukan berlaku kejam atau sengaja hendak menyeksa pesakit tersebut. Sebaliknya doktor itu bertujuan untuk merawat dan menolong pesakit itu, tetapi terpaksa melalui proses pembedahan yang menyakitkan.
Senario kedua
Kereta anda telah cukup tempoh untuk digantikan timing belt. Anda ke bengkel kereta untuk menggantikan timing belt yang baru. Mekanik akan membuka dan membawa turun enjin kereta anda dan ketika ini kereta anda yang amat anda sayangi kelihatan tak ubah seperti himpunan besi buruk yang berselerak, ketika mekanik sedang melakukan proses memasang timing belt itu. Tetapi anda tidak merasa marah atau runsing kerana anda tahu, selepas segalanya selesai, kereta anda akan kembali seperti keadaan asal. Anda juga sanggup menunggu kereta anda disiapkan dengan sabar. Semua ini adalah kerana anda memahami apa yang berlaku.
Cuba kita renungkan sejenak, dalam kehidupan kita , kebanyakan perkara atau benda yang ingin kita menambahbaik (upgrade) atau ingin dibaiki, pasti akan melalui proses yang membabitkan keadaan tidak selesa/berselerak/bersepah atau buruk, ketika proses upgrade tadi dijalankan. Tidak kira apa jua senarionya, seperti membetulkan sistem paip di dalam rumah, membaik pulih jam tangan, rumah, komputer dan sebagainya. Tetapi apa yang kita tahu, sebaik sahaja proses membaik pulih ini selesai, segalanya akan menjadi lebih baik dan lebih produktif. Seperti komputer yang telah diupgradekan, ditukar RAM dan lain-lain, ianya akan berfungsi lebih laju dan efisien.
Maka begitu jugalah dengan sesuatu musibah yang melanda diri kita. Bukankan kita semua selalu mendengar dan bersetuju dengan ungkapan ini :
" Yang baik itu dari Allah, yang khilaf itu dari kelemahan manusia sendiri... "
-SZ-
No comments:
Post a Comment